Tiada Yang Kedua


Sang matahari tanpa segan silu menampakkan diri. Cuaca agak panas. Kulit terasa berbahang tapi bagi Hakimi ia bukanlah masalah sementelahan inilah sumber pencariannya selama ini. Pemilik kepada syarikat binaan ini termenung jauh. Bunyi bising di sekelilingnya tidak diendahkan. Dalam benaknya, memikirkan sesuatu yang sukar untuk dimengertikan oleh orang lain.

Tidak tahu apa silapnya kali ini sehingga Halina begitu memarahinya. Isteri yang dinikahinya sejak 15 tahun yang dulu kini benar-benar berubah. Perubahan yang begitu ketara. Kasih sayang yang selama ini dipatri untuk isteri tercinta seolah-olah tidak dihargai. Hakimi mengeluh. Keluhan untuk yang ke berapa kali dia sendiri tidak pasti. Apa yang jelas dirinya buntu. Buntu memikirkan masa depan rumahtangga yang dibina untuk bertahun-tahun lamanya.

Rawan rasa hatinya. Tapi ini bukanlah kali pertama isteri kesayangannya itu bersikap sedemikian. Puas dicongak apakah puncanya,yang pasti jalan buntu yang ditemui. Sudahnya dia hanya mendiamkan diri. Diam itu lebih baik dari menyulitkan lagi keadaan.

Dian Halina, secantik namanya. Bermula dari kawan biasa akhirnya menjadi teman yang cukup istimewa dalam hidup Hakimi. Perkenalan hampir tiga tahun membuatkan Hakimi nekad untuk mengambil Halina sebagai suri dalam hidupnya hinggalah kini. Segala-galanya indah sehinggalah lahirnya puteri kesayangan, Nur Nadhirah . Satu-satunya zuriat Hakimi hasil perkongsiaan hidup bersama Halina.

Namun ianya hanya tinggal mimpi ngeri. Panas yang disangkakan hingga ke petang rupanya mengundang hujan di tengahari. Halina menunjukkan perubahan yang begitu ketara sehinggakan lalai dalam menjalankan tanggungawab sebagai seorang isteri dan juga ibu. Hakimi benar-benar kesal. Kesal atas kelekaannya selama ini sebagi seorang suami dalam mendidik isteri. Hatinya kecewa, rumahtangganya di ambang kehancuran.

Dari jauh Bakri memerhatikan tingkah laku Hakimi. Sahabatnya itu seperti menghadapi bebanan perasaan yang cukup berat. Hendak ditanya takut nanti dikatakan mencampuri urusan orang sedangkan persahabatan antara mereka terjalin sejak kecil lagi. Hubungan persaudaraan antara mereka berdua telah membuatkan mereka rapat sehingga kini. Perasaan ingin tahu terasa melonjak-lonjak. Bakri akhirnya mengangkat kaki melangkah ke arah Hakimi. Bahu Hakimi disapa lembut. Rakannya itu terkejut lalu menoleh ke belakang.

“Kau ada masalah Kimi? Aku perasan sejak dari tadi kau termenung. Kau fikirkan apa?”. Bakri menyoal.

Hakimi hanya mendiamkan diri. Terasa berat lidahnya nak menjawab pertanyaan itu.

“Aku bukan nak campur tangan soal hidup kau tapi sekurang-kurangnya sebagai sahabat lama kau, aku perlu tahu keadaan kau”. Bakri kembali bersuara.

Hakimi hanya menunduk, sesekali mengeluh. Terasa berat desah nafasnya di hujung telinga Bakri.

“Aku buntu Bakri. Aku tak tahu apa yang perlu aku buat sekarang. Hati aku runsing”.

“Kenapa? Ada masalah dengan Harlina ke? Setahu aku kalau berkaitan dengan hal syarikat kau tak lah seteruk macam ni”. Tutur Bakri lagi.

Hakimi kembali sepi. Berusaha untuk mengumpul kekuatan diri. Baginya masalah rumahtangga tidak perlu diceritakan kepada orang lain. Aib keluarga perlu dijaga. Tapi jika tidak diluahkan jiwanya semakin sesak. Kepalanya semakin berat. Semuanya kerana Halina.

“Ceritalah kawan, mana tahu aku boleh tolong. Wang ringgit mungkin tak termampu aku nak tolong tapi sekurang-kurangnya tolong nasihatkan InsyaAllah aku boleh”. Bakri menawarkan diri. Runsing benar hatinya melihat perilaku Hakimi sedemikian rupa.

“Ermm... Harlina. Dia minta aku ‘lepaskan’ dia Bakri”. Suara Hakimi berubah nada. Ada sebak yang cuba ditahan. Hati lelakinya pilu tiap kali mengungkapkan perkataan itu.

“Astaghfiruallah...Kimi. Apa yang dah berlaku?”. Bakri benar-benar terkejut. Jika tadi dia duduk bersebelahan dengan Hakimi, akibat rasa terkejut secara spontan diri berdiri di hadapan sahabatnya itu.

Hakimi mendongakkan kepala merenung ke wajah Bakri sebelum kembali menunduk. Ada riak simpati di situ.

“Aku tak tahu Bakri apa puncanya. Yang pasti, makan pakai aku tak lagi dia endahkan. Masanya banyak dihabiskan di butik. Kadang kala sampai lewat malam. Apa hukumnya, bila suami perlu tunggu isteri?”. Hakimi mengeluh lagi.

“Tapi di luar aku tengok hubungan kau dan Halina baik. Mesra. Malah aku kagum. Aku sendiri tak mampu semesra tu. Jujur aku katakan”.

Hakimi hanya tersenyum pahit. Senyuman yang seolah dibuat-buat. Wajahnya yang keruh masih dapat dikesan oleh Bakri.

“Di luar ya Bakri, di rumah tidak. Aku tak ubah macam orang asing. Dia lebih banyak habiskan masa di luar. Irah pun selalu dia tinggalkan. Jarang sekali nak bersua muka apatah lagi bermesra. Sudahnya makan aku dan Irah hanya di kedai”. Luah Hakimi lagi.

Bakri menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Pasti ada sesuatu yang mengguris hatinya. Kau bawa lah berbincang. Pujuk dia. Siapa tahu? Mungkin hatinya lembut. Hati perempuan ni kadang-kadang susah kita nak tafsir Kimi. Mereka lebih suka mendiamkan diri dari bersuara”.

“Itu juga lah yang aku cuba buat Bakri. Tapi tiap kali aku ajak berbincang, ada-ada saja alasan dia. Penat lah, sibuk lah macam-macam lagi. Jenuh aku dibuatnya. Aku saja yang berusaha untuk menjernihkan hubungan kami tapi dia tidak”.

Bakri menganggukkan kepala. Tanda faham apa yang diucapkan oleh Hakimi. Sesekali kedengaran keluhan kecil dari bibirnya. Turut sama merasai apa yang dialami oleh Hakimi.

Wajah Hakimi dipandang lama. “Sekarang, apa keputusan kau?”.

“Itu yang aku buntu. Aku tak mampu Bakri, aku sayangkan dia. Sayangkan Irah. Aku sayangkan rumahtangga aku. Apa akan berlaku pada Irah jikalau kami berpisah?”. Hakimi kembali bingung.

“Sabarlah Kimi, ini semua dugaan dari Dia. Kita sebagai hambaNya perlu banyakkan bersabar. Anggaplah ini ujian dariNya untuk menguji sejauh mana kuatnya kasih sayang yang kita bina Kimi. Sejauh mana kita mampu redha atas takdir yang Dia telah tetapkan. Sejauh mana kesabaran kita sebagai suami dan bapa. Buatlah keputusan yang terbaik. Demi masa depan rumahtangga kau. Terutamanya diri kau Kimi”. Pesan Bakri panjang lebar.

“InsyaAllah Bakri. Selagi aku boleh, aku tak akan sesekali lepaskan Halina”. Itu janjinya. Tidak sanggup rasanya melalui hari-hari berikutnya tanpa Halina di sisi. Halina lah semangatnya. Kekuatannya selama ini.

“Alhamdulillah, itu yang sebaik-baiknya. Aku doakan”.

*******

Jam dah menunjukkan ke angka 10 malam. Malam semakin lewat. Namun Halina masih lagi di butiknya menyiapkan tempahan yang diterima daripada pelanggan. Sesekali telefon Nokia E72 miliknya berbunyi menandakan adanya panggilan masuk. Halina membatu. Lebih senang membiarkan bunyi itu terus-terusan berdering dari mengangkatnya. Empunya pemanggil telah pun diketahui. Siapa lagi kalau bukan Hakimi, suaminya.

Halina masih leka dengan kerja-kerjanya. Walaupun keseorangan dia sesekali ditemani dengan pesanan ringkas dari sahabat lama, Zakuan. Teman yang pernah hadir dalam hidupnya sebelum mendirikan rumahtangga bersama Hakimi. Pertemuan yang tidak dijangka telah membibitkan kembali rasa cinta yang pernah ada untuk Zakuan suatu ketika dulu.

Atas desakan mak dan abah, dia terpaksa berpisah dengan Zakuan. Kononnya Zakuan tidak mempunyai kerjaya yang tetap serta tidak mampu memberikan kesenangan apabila mereka berkahwin kelak. Harta juga yang menjadi ukuran. Demi kasihnya pada keluarga, diturutkan juga permintaan mereka untuk menjodohkan dirinya dengan Hakimi. Dirinya pasrah.

Tidak pernah dia lupakan saat dirinya meminta perpisahan daripada Zakuan. Masih jelas kekecewaan Zakuan di wajahnya. Siapa yang tidak sedih jika kekasih hati hendak dijodohkan dengan orang lain. Bertahun-tahun lamanya menyemai kasih, tidak di sangka ini kesudahannya. Menangis lah air mata darah sekalipun, perkahwinan ini tetap juga akan diteruskan. kudratnya tidak termampu melawan kehendak keluarganya ketika itu.

“Maafkan Dian. Dian tak mampu untuk menolak kehendak mak dan abah. Dian tak nak dikatakan anak derhaka. Dian mohon, redha lah dengan perpisahan ini Zack”. Halina berteleku melutut di hadapan Zakuan.

Dian. Panggilan istimewa Zakuan terhadap dirinya. Belum pernah ada sesiapa pun yang memanggilnya sebegitu. Terasa dirinya benar-benar disayangi oleh insan yang bernama lelaki.

Zakuan menunduk. Tidak sedikit pun kepalanya dikalih ke arah Halina. Hatinya benar-benar sakit. Terasa cintanya dikhianati. Mudah benar Halina mencipta alasan. Tidak kah Halina tahu, hatinya benar-benar sayang dan cintakan gadis itu.

“Dian tak sayang Zack ke? Mana janji Dian nak hidup bersama-sama dengan Zack sampai bila-bila. Dian dah lupa?”. Digoncangnya bahu Halina yang terhenjut-henjut menahan sendu sejak dari tadi.

Halina menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Dian tak pernah lupa Zack. Dian sayangkan Zack. Tak kurang sedikit pun kasih sayang diri ini buat Zack. Malah semakin bertambah. Tapi apakan daya, Dian tersepit. Tolong lah faham. Anggaplah ini perngorbanan untuk hubungan kita Zack. Harga yang perlu kita bayar untuk cinta kita”.

Halina bingkas bangun membelakangi Zakuan. Lagi lama dia berteleku di sisi Zakuan, lagi berat hati untuk meninggalkan lelaki itu. Tatkala kakinya melangkah untuk menjauh, terasa jari-jemarinya dipaut kemas. Halina menoleh.

“Terima kasih atas kasih sayang yang pernah Dian hadirkan dalam diri Zack. Zack doakan Dian bahagia bersamanya. Selamat Pengantin Baru”.

Genggaman tangan dilepaskan. Halina berlari meninggalkan Zakuan tanpa menoleh ke belakang lagi. Dadanya sebak. Terasa sesak nafasnya menahan air mata yang seakan tidak mahu berhenti dari mengalir. Zakuan ditinggalkan sendirian.

Sama-sama sayang. Maafkan Dian kerana mengkhianati janji kita. Balas Halina kembali. Namun kata-kata itu hanya mampu diluahkan dalam hati.

Zakuan terduduk. Merenung jauh sehingga bayang susuk badan Halina semakin hilang daripada pandangan. Air mata lelakinya jatuh jua akhirnya. Menangisi pemergian sang kekasih.

********

Halina kembali sedar dari mengelamun panjang. Fikirannya jauh merawang sehingga teringat peristiwa lama. 15 tahun telah berlalu, kini hatinya terisi semula dengan kehadiran Zakuan setelah bertahun-tahun lamanya memendam rindu. Pertemuan yang tidak disengajakan itu telah me mbibitkan rasa cinta yang pernah ada untuk Zakuan dulu. Akhirnya rindu Halina terubat apabila Zakuan dengan jujurnyamengakui bahawa hatinya masih lagi cintakan diri ini. Bibirnya mengukir senyuman.

Hakimi? Hatinya tiada lagi rasa kasih buat suaminya itu. Cinta, kasih dan rindunya kini hanyalah untuk Zakuan seorang. Kekasih hati awal dan akhir.

Telah berkali- kali Halina minta agar dirinya dilepaskan namun Hakimi seolah-olah liat. Sedaya upaya dia berusaha namun semua rancangannya gagal. Lagi cepat dia dilepaskan lagi senang hatinya. Hatinya benar-benar kosong untuk suaminya itu.

Pernah suatu ketika dia membuat suaminya marah. Punca yang sengaja diada-adakan.

“Saya jaga makan pakai awak, jaga anak awak. Tapi awak boleh buat perangai di luar. Seronok ke dapat menyakitkan hati saya ni?”. Halina bertanya kasar. Mukanya merah padam mengawal perasaan.

“Abang buat apa pula? Abang baru balik ni kan. Perangai apa nya sayang?”. Hakimi bertanya lembut.

Bertambah penat rasanya badan apabila kepulangannya dari bekerja disambut dengan kemarahan. Hendak kan menyalami tangannya, jauh panggang dari api. Ada-ada saja yang tak kena di mata Halina. Puas sudah dipujuk hati ini agar sabar dengan setiap kerenah isterinya. Namun langsung tak dihargai.

“Jangan awak buat-buat tak tahu pula. Kalau awak rasa saya ni umpama beban dalam hidup awak, lepaskan saya”. Halina menyinga.

Terasa perit cuping telinganya. Balik-balik ayat itu juga yang disebut Halina. Acapkali benar kedengaran di cuping telinganya. Mudah benar mengungkapkan kata-kata perpisahan.

Tidakkah isterinya tahu, diri ini benar-benar menyayanginya. Tercalar maruahnya sebagai suami. Terasa di perlekehkan sesuka hati. Sudahnya dia hanya mendiamkan diri dan terus berlalu. Ditinggalkan Halina sendirian.

“Itulah perangai awak. Bila saya bercakap, awak diam. Jadi memang betul lah apa yang saya sangkakan selama ni. Awak main kayu tiga di belakang saya. Kalau awak dah tak sayang saya, hantar saya balik rumah mak abah saya”. Marah Halina lagi.

Leteran Halina dibiarkan sepi. Diam tak bermakna dirinya takut cuma dia tidak mahu Halina terus-terusan menambah dosa tiap kali memarahinya. Biarlah dia beralah. Minyak jika dicurahkan dengan minyak akan bertambah marak lah apinya. Dia mahu menjadi air yang sentiasa menyejukkan di kala bahang mula menjengah dalam rumahtangganya.

Dilihat suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang tindakbalas. Sudahnya dia membawa diri ke dalam bilik dengan rasa sakit hati yang semakin bertimpa-timpa. Pintu bilik ditutup rapat malah dikunci dari dalam. Biar dia rasakan bahawa hatinya benar-benar sakit dengan sikap acuh tak acuh Hakimi sebentar tadi. Hatinya semakin membengkak.

Ya Allah Ya Tuhanku. Ampunkanlah isteri ku Ya Allah. Sesungguhnya aku silap dalam membimbingnya sebagai suami Ya Allah. Ampunkanlah segala kekhilafan hambaMu ini Ya Allah.

Dipanjatkan doa memohon kepada Maha Pencipta. Air mata lelakinya mengalir, menangisi apa yang terjadi dalam hidupnya. Berat lidah meluahkan, berat lagi hati untuk menggalas beban perasaan kecewa yang semakin merebak.

******

Jarum jam telah menjengah ke angka 12 malam. Namun kelibat Halina masih juga belum kunjung tiba. Berkali-kali dia cuba menelefon tapi gagal dijawab. Seperti malam-malam yang sebelumnya, dia setia menanti kepulangan sang isteri.

Kadang kala dirinya terasa diperbodohkan. Di mana hukumnya seorang suami perlu menunggu isterinya pulang? Tapi demi sayang dan kasihnya pada Halina apa jua sanggup dilakukan. Benaknya sesak apabila memikirkan perubahan yang begitu ketara pada Halina. Puas ditilik-tilik apakah silapnya? Tidak ada satu pun yang kurang sepanjang 15 tahun perkahwinannya. Asalkan semuanya untuk Halina.

“Ayah....ibu belum balik lagi?”. Nadhirah bersuara sambil menggosok matanya dengan belakang tangan. Hakimi menoleh sambil tersenyum.

“Irah tak tidur lagi?”. Hakimi pula yang bertanya.

“Irah dah tidur tadi tapi terjaga. Tengok lampu luar masih terpasang. Ayah tak tido?”.

“Ayah belum mengantuk lagi. Irah pergilah sambung tido, esok nak sekolah kan”.

“Ayah...ibu mana?”. Nadhirah kembali menyoal. Pertanyaan yang itu juga.

“Ibu...ibu ada kerja sikit sayang. Lambat balik”. Hakimi menjawab bagi pihak isterinya. Ya atau tidak dia sendiri tidak pasti.

“Tak apa lah. Irah masuk tidur dulu. Selamat malam ayah”.
“Selamat malam sayang”. Hakimi membalas kembali.

Kedinginan embun malam seakan tidak mampu membuang rasa galau di hati Hakimi. Sudah lewat begini, ke manakah agaknya Halina pergi? Fikirnya sendiri. Sedang bercongak-congak untuk masuk ke dalam, sorotan cahaya lampu memasuki perkarangan rumah. Halina. Detik hatinya.

Hakimi masih lagi terpacak di muka pintu. Sabar menanti si isteri keluar dari perut kereta. Halina terus berjalan mendahului Hakimi tanpa mengucapkan apa-apa. 

“Lambat balik?”. Sudahnya Hakimi bersuara.

“Banyak kerja”. Jawab Halina sepatah.

“Banyak betul kerja hinggakan abang call pun sayang tak angkat”. Hakimi bertanya lagi.

Sebagai suami rasanya dia berhak tahu ke mana jua Halina pergi. Bahkan dengan izinnya juga Halina boleh melangkahkan kaki keluar dari rumah. Tidak sedar kah isterinya tentang itu? Hakimi bertanya sendiri.

Halina hanya diam. Menggeleng tidak, mengiya pun tidak.

Hakimi membontoti langkah  isterinya masuk ke dalam rumah. Setibanya di depan pintu bilik, Halina terus menguncinya dari dalam. Hakimi tergamam. Keluhan berat dilepaskan. Nampaknya malam ni aku tidur di luar lagi. Desis hatinya. Hakimi melangkah longlai ke arah sofa dan merebahkan badannya situ.

*******

Zakuan tersenyum panjang. Akhirnya kemenangan berpihak kepadanya. Halina telah pun berada dalam genggamannya kini. Segala yang dirancang berjalan dengan lancar. Hanya menunggu masa untuk sampai ke episod kemuncak. Hatinya berbunga bangga. Bangga kerana dapat merampas kembali Halina dari tangan Hakimi.

“Zack...ke mana U nak bawa I ni? Halina bertanya dengan nada manja.

“Somewhere, ke tempat yang tak kan ada siapa dapat ganggu kita”. Zakuan membalas.

Dipaut lengan Zakuan mesra. Hari ini hatinya benar-benar terasa indah. Saat bersama Zakuan yang dulu dapat direalitikan kembali. Diciumnya pipi kanan Zakuan. Zakuan membalas.

“Demi U...Zack. Ke mana pun I sanggup. Asalkan bersama dengan U”.

Ok sayang. Kita dah sampai. Zakuan memberhentikan keretanya di sebuah apartment mewah.

Jom...I nak tunjukkan surprise I pada U. Zakuan menarik tangan Halina supaya berjalan beriringan dengannya. Pinggang Halina dipegang mesra. Halina hanya mengikuti langkah Zakuan tanpa membantah. Dari jauh ada sepasang mata yang melihat tingkah laku mereka.

Sampai di tingkat 5, bilik A406. Zakuan terus memulas tombol pintu. Ditariknya Halina masuk ke dalam. Halina terpegun. Suasana yang cukup romantik dengan hidangan makan malam yang tersusun di atas meja. Dihiasi dengan sejambak mawar merah segar.


“For U my dear sweatheart”. Zakuan seakan berbisik. Halina terasa seperti di awang-awangan.

Zakuan menariknya pula ke kamar tidur. Saat Zakuan menolak daun pintu, Halina kagum. Katil dihias indah dengan taburan kelopak mawar putih. Lambang warna cinta mereka dahulu. Haruman wangian terasa menusuk ke lubung hidung.  

Tanpa sedar pipi kiri Halina dicium Zakuan lama. Hangat dan beralih pula ke bibirnya. Halina terpaku. Dadanya terasa berdebar-debar. Jari jemari Zakuan dapat dirasakan merayap-rayap di seluruh tubuh badannya. Halina akhirnya tewas. Tewas dalam dakapan seorang lelaki yang bukan suaminya.

Saat ingin memadu asmara membelai kasih. Pasangan itu dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat. Mereka terkejut. Zakuan terus berdiri dari menindih tubuh Halina. Terkocoh-kocoh Halina membetulkan kedudukan bajunya.

Hakimi. Halina kaget. Pucat lesi wajahnya. Jika ditoreh dengan pisau sekali pun, belum tentu meninggalkan kesan. Dengan riak wajah amarah, Hakimi berjalan menghampiri Halina. Panggg...Halina terduduk. Zakuan di sebelah hanya menundukkan kepala tanpa bersuara walau sedikit pun.

“Aku Hakimi Jazlan bin Hassan menceraikan Dian Halina binti Dahlan dengan talak tiga”. Halina terkesima. Meraung. Berlari memaut kaki Hakimi sambil berlutut. Suara tangisannya memenuhi segenap ruang bilik.

“Ampunkan Ina...abang. Ampunkan Ina”. Halina meratap merayu memohon simpati sang suami.

Hakimi hanya diam membisu. Wajahnya dikalih menghadap ke arah Halina. Tiada kata yang mampu diucapkan. Terasa perit kerongkongnya. Sungguh. Hancur luluh hatinya saat melihat isteri yang disayangi disentuh oleh lelaki lain.

Tanpa menoleh ke arah Halina lagi, Hakimi terus berlalu membawa hatinya yang pilu. Terasa air mata lelakinya jatuh tanpa dapat dibendung lagi. Puas cuba ditahan, namun tiada apa yang dapat menghilangkan rasa ngilu di hati akibat ditoreh oleh isterinya sendiri.

Abang halalkan makan minum Ina selama kita menjadi suami isteri. Dengan seikhlas hati dia melafazkan walaupun tidak secara lisan.

Di dalam bilik Halina mengongoi bagaikan anak kecil yang kehilangan ibu. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak perbuatan membinasakan diri. Halina menangis sepuas-puasnya. Terasa perit pipinya. Selama 15 tahun menjadi suami isteri, Hakimi tidak pernah menjentiknya walau sekali pun. Tapi malam ini dia benar-benar telah mencabarkan kesabaran suaminya itu.

“Hahaha...sedih bukan? Perempuan yang tak tahu dek untung. Punyai suami sebegitu baik pun kau masih menduakan dia. Manusia jenis apa kau ni?”. Zakuan mengherdiknya.

“Zack...apa yang U cakapkan ni. I...I tak faham”. Halina bingung melihat tingkah laku Zakuan di hadapannya.

“Untuk pengetahuan kau, aku yang merancang semua ni”. Gelak tawa Zakuan bergema di seluruh bilik. Halina terpinga-pinga. Terasa lemah seluruh badannya. Namun digagahi juga berjalan menuju ke arah Zakuan.

“Tolong jangan buat I macam ni. I sayangkan U Zack. Tolong jangan tinggalkan I”. Halina separuh merayu. Namun sedikit pun tidak diendahkan oleh Zakuan. Sudahnya dia bangun, berdiri melepasi kedudukan Zalina yang sedang melutut.

“Kau tak layak dapat kasih sayang aku Halina. Tentu kau masih ingat bukan, bagaimana aku merayu kepada kau dulu? Aku masih ingat dan akan tetap ingat sampai bila-bila. Untuk terima kau kembali, sesekali tidak”. Keras nada suara Zakuan.

Zakuan terus berlalu meninggalkan Halina sendirian. Jeritan Halina memanggil-manggil namanya tidak dihiraukan. Dendamnya kini terlunas. Hutangnya langsai dengan bayaran yang cukup mahal. Harga kehancuran rumahtangga Halina. Hatinya puas.

*******

“Sabarlah Kimi. Ini semua ketentuan Dia. Tiada siapa dapat menghalangnya. Kita sebagai hambaNya hanya mampu redha. Redha di atas perjalanan takdir yang diaturkan olehNya”. Ucap Bakri panjang lebar.

“Aku terima Bakri ketentuan takdir ini dengan hati yang terbuka. Aku redha jodoh aku dan Halina tak panjang. Malah aku ampunkan segala dosanya terhadap aku Bakri”. Balas Hakimi sayu.

“Jadi, anak kau bagaimana?”. Bakri bertanya lagi.

“Syukur Bakri, hak penjagaan Irah diserahkan kepada aku. Satu-satunya harta yang aku ada sekarang”. Jawab Hakimi bersemangat.

“Alhamdulillah. Baguslah. Itu yang sebaik-baiknya”. Balas Bakri kembali. Belakang Hakimi ditepuk berkali-kali sebagai tanda sokongan terhadap sahabatnya itu.

Terima kasih kawan. Desis hati Hakimi. Di suatu sudut dapat dilihat penyesalan yang terpancar di wajah bekas isterinya itu. Hatinya benar-benar tawar. Terkilan di atas kecurangan yang berlaku di depan matanya sendiri. Cukuplah hanya sekali, tiada untuk kali yang kedua.

Andai cintamu adalah debunga
Akan aku terbangkan ke seluruh taman
Agar menjadi selautan kasih yang mewarni
Andai setiamu adalah harumnya
Akan aku kembangkan sayap indah
Membawa bersama wanginya kasihmu
Andai inilah penamat kisah rindu
Akan aku matikan detik hati ini untukmu

TAMAT

Ini adalah cerpen saya yang pertama. Harap kalian sudi membacanya dan menitipkan komen bagi memperbaiki lagi mutu dan gaya penulisan dalam penceritaan yang seterusnya. Selamat Membaca.

By TIRA KIRANA

Comments

  1. best .. memang salah halina pon .. die mmg buta dlm menilai kasih syg suami dia .. dia langsung tak fikir panjang .. apelah slahnya kalau dia bersabar skjap, jgn melenting kan kak?? hehehe

    akk, nnti akk buang la word verification, mcm susah plak nk type code .. hehe, cume perkogsian saje .. :D bye ~~

    ReplyDelete
  2. huhuhu tq naurah.ni percubaan akak yg pertma.hope naurah enjoy mase membacenye..ok nnt akak buangkn.

    ReplyDelete
  3. welcome ... 1st trial pon best ape .. hehe :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhuhu...InsyaAllah akn menyusl karya2 seterusnye.hope naurah sudi membacenye nnt..

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Front Page CTU101 Assignment

22hb03thn2016 jam 1.50 ptg

Biru Turquoise